Sarawak main peranan penting jaga alam sekitar

Posted on 21 Apr 2025
Source of News: TVS

KUCHING, 21 April: Kerajaan Sarawak akan meningkatkan usaha dalam mendepani isu berkaitan pemuliharaan biodiversiti dan pengurusan sumber asli.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, tumpuan turut diberikan kepada mitigasi dan adaptasi perubahan iklim agar tidak menggugat kelestarian alam sekitar di wilayah ini.

Menurutnya, setiap lapisan masyarakat perlu bijak mencari titik keseimbangan semasa memajukan wilayah ini tanpa meminggitkan ekosistem.

“Meskipun Sarawak dilihat sebagai salah sebuah negeri di dalam Malaysia, kita tetap memainkan peranan penting untuk memastikan setiap tindakan dambil dapat membantu mengurangkan kesan buruk kepada alam sekitar.

“Kita mempunyai tanggungjawab terhadap alam sekitar dan saya berharap menerusi langkah-langkah pengurusan alam sekitar bijak, kita dapat mengurangkan kejadian hujan, ribut dan kemarau agar tidak berlarutan serta perubahan iklim tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Bumi 2025 Peringkat Negeri Sarawak di Kuching pada Isnin.

Lebih 1,500 peserta yang terdiri daripada pelajar instiusi pengajian tinggi, badan kerajaan dan swasta hadir menghadiri majlis tersebut.

Sementara itu, Pengarah Politeknik Kuching Samsudin Mohd Salleh berharap belia meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara alam sekitar dan mempromosi penggunaan tenaga hijau untuk kelestarian bumi.

Tambahnya, Hari Bumi 2025 merupakan platform penting dalam menggalakkan penyertaan golongan tersebut dalam pelbagai aktiviti berkaitan alam sekitar.

“Menerusi program seperti ini, mereka dapat menimba ilmu, memupuk kesedaran dan menanamkan semangat sebagai ejen perubahan dalam memelihara bumi,” ujarnya.

Sambutan Hari Bumi Tahun 2025 Peringkat Sarawak dianjurkan Jabatan Alam Sekitar Negeri Sarawak dan Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd dengan kerjasama Politeknik Kuching serta beberapa agensi berkaitan.-TVS